Thursday 19 April 2012

Flashmob Pendidikan Percuma Terengganu

 



Sejak isu pendidikan percuma ini diuar-uarkan dan menjadi antara salah satu tuntutan 9 Malaysia Bangkit, ia menjadi bualan panas baik di kalangan mahasiswa, para pendidik, golongan professional, para menteri sehinggalah golongan ibu bapa di bandar-bandar dan di kampung-kampung pedalaman negara.

Pendidikan percuma bukan satu isu baru yang diketengahkan oleh Malaysia Bangkit, tetapi perlaksanaannya telah lama diimplementasikan dalam dunia pendidikan sejarah ketamadunan Islam. Lihat sahaja sejarah Islam yang telah dicipta semasa pemerintahan Bani Abbasiyyah di Kota Baghdad dan juga perlaksanaan pendidikan percuma semasa pemerintahan Andalus.

 Dalam sejarah ketamadunan Islam, kedua-dua pemerintahan ini sangat singnifikan dan  terkenal dengan pemusatan tempat pengajian ilmu oleh pencinta ilmu apabila pendidikan percuma diberikan kepada sesiapa yang ingin menuntut ilmu. Pendidikan percuma diberikan kepada rakyat bagi sesebuah negara berkebajikan kerana ia dianggap sebagai keperluan asasi bagi setiap rakyat. Sehinggalah sistem kapitalis merobek keperluan asasi ini dan menjadikannya suatu perniagaan yang menguntungkan (hanya rakyat yang berkemampuan sahaja yang boleh mendapatkan ilmu pelajaran).

Oleh yang demikian, melihat kepada isu pendidikan percuma ini adalah satu aspek keperluan asasi rakyat, gerakan-gerakan mahasiswa menyedari bahawa isu ini adalah suatu isu yang harus dituntut haknya untuk dikembalikan kepada rakyat sesebuah negara khususnya di Malaysia. Berikutan itu, satu demonstrasi menuntut pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN telah diadakan di Kuala Lumpur pada 14 April 2012 dan sehingga sekarang satu “protest camp” didirikan di Dataran Merdeka yang memperlihatkan seriusnya tuntutan mahasiswa terhadap isu ini.



Sehubungan dengan itu, Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) telah mengadakan “flashmob” fasa pertama di sekitar Kuala Terengganu pada 19 April 2012. “Flashmob” ini bertujuan untuk menunjukkan solidariti bersama mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka demi untuk memperjuangkan isu pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN.

Flashmob ini juga bertujuan bagi mengecam tindakan sekumpulan samseng (disyaki diupah oleh pihak-pihak tertentu) yang secara sengaja menyerang mahasiswa-mahasiswa yang menghuni “protest camp” tanpa ada sebarang provokasi yang dibuat, juga di samping memberi pencerahan dan kesedaran kepada masyarakat sekitar Kuala Terengganu tentang peristiwa yang berlaku di Dataran Merdeka.



Flashmob yang telah diadakan pada jam 5.30 petang bermula di Datarab Syahbandar, Kuala Terengganu dengan mengangkat sepanduk yang tertulis “Free Educatin Now”, “Support Protest Camp” dan pelbagai lagi. Mahasiswa yang terlibat ialah Amar, Asraf, Jerry, Azraai dan Joshua (bukan nama sebenar) lalu memberi sedikit pencerahan kepada masyarakat sekitar tentang isu pendidikan percuma dan apa sebenarnya yang berlaku di Dataran Merdeka. Pada kira-kira jam 6.00 petang, mereka bergerak ke ICT dan Chinatown di sekitar Bandar Kuala Terengganu untuk meneruskan agenda flashmob tersebut.

Kira-kira pada jam 7 petang, flashmob berakhir dan mahasiswa yang terlibat bersurai secara aman. Meskipun hujan di sekitar Kuala Terengganu, mahasiswa-mahasiswa ini tetap bersemangat untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat berkenaan isu pendidikan percuma ini bagi melihat generasi akan datang mendapat hak pendidikan percuma dari kerajaan Malaysia. Flashmob ini tidak berhenti di sini sahaja memandangkan flashmob fasa kedua akan menyusul tidak lama lagi juga di sekitar Kuala Terengganu untuk mengekalkan momentum mahasiswa sebagai jurubicara rakyat.

Laporan oleh: Unit Aksi dan Propaganda GEMPUR

Sumber :  http://gerakanmahasiswapantaitimur.wordpress.com

Ulasan BSM : Mahasiswa perlu tahu hak mereka dan siapa mereka. Adakah kerajaan menghargai pelajar sebagai modal insan ataupun sebaliknya?

No comments:

Post a Comment