Tuesday 24 April 2012

GEMPUR Seru Mahasiswa Turun Bersih 3.0

Berikut kenyataan yang diperoleh oleh BSM dari blog rasmi GEMPUR ( http://gerakanmahasiswapantaitimur.wordpress.com )

Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) menyeru seluruh mahasiswa pantai timur untuk turun bersama-sama ke Perhimpunan Duduk Bantah, Bersih 3.0 yang bakal diadakan di Dataran Merdeka,Kuala Lumpur sabtu ini.

 


Seruan ini selaras dengan tanggungjawab mahasiswa sebagai agen perubahan dan jauh lebih penting, mahasiswa juga berperanan  sebagai warganegara yang mempunyai hak bagi menuntut sistem Pilihanraya yang Bersih,Telus & Adil.GEMPUR berpandangan bahawa pilihanraya umum adalah medium yang paling penting dalam proses melakukan perubahan dalam sistem pemerintahan & pembentukan dasar-dasar negara.Proses memilih tampuk pemerintahan ini hanya dilakukan 5 tahun sekali,oleh itu ini adalah peluang yang terbaik bagi rakyat menentukan halatuju negara dengan memilih kerajaan manakah yang sesuai bagi mengemudi negara yang tercinta ini.


Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) menyeru seluruh mahasiswa pantai timur untuk turun bersama-sama ke Perhimpunan Duduk Bantah, Bersih 3.0 yang bakal diadakan di Dataran Merdeka,Kuala Lumpur sabtu ini.

Malaysia telah melalui satu period yang agak kritikal sejak beberapa dekad terakhir ini.Dalam masa kita mengejar status sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020, namun dalam masa yang sama, kita masih lagi tidak mampu mengekang peningkatan gejala rasuah, korupsi, penyelewengan, pembangunan tidak seimbang, peningkatan kos sasra hidup, diskriminasi perkauman, krisis ekonomi dan sebagainya.Di sudut lain pula, rakyat masih lagi dikelirukan dengan informasi-informasi & maklumat yang salah terutamanya daripada media yang bersifat berat sebelah.

Ditambah pula dengan sistem pilihanraya yang kurang meyakinkan dan telah dibuktikan dengan bermacam-macam kelemahan, maka sudah tiba masanya rakyat,khususnya anak muda bangkit menuntut perubahan dilakukan ke atas proses pilihanraya ini bagi memastikan pemilihan kerajaan bukan berdasarkan sentimen & kepercayaan/taqlid buta berasaskan propaganda media & jentera yang berat sebelah,tetapi GEMPUR mahukan keputusan Pilihanraya Umum ke-13 ini dilakukan setelah rakyat melalui proses yang adil, mendapatkan maklumat yang telus & berdasarkan ilmu dan kefahaman yang jelas tentang matlamat & dasar sesebuah kerajaan yang bakal memerintah.

Adalah menjadi hak kita,sebagai warganegara untuk memilih kerajaan yang  dirasakan yakin untuk melakukan pembangunan yang mampan serta lestari dalam semua aspek & merencanakan agenda pembangunan multidimensi merangkumi elemen spiritualistik & materialistik.Namun, sebelum memastikan semua itu tercapai, pilihanraya yang bersih, telus & adil juga wajib dilaksanakan bagi memastikan proses pemilihan sebuah kerajaan itu benar-benar berkualiti & tidak meragukan.

GEMPUR berpandangan, melabelkan Himpunan Bersih 3.0 dengan label yang tidak sepatutnya seperti omongan bahawa Bersih 3.0 adalah agenda membantu pembangkang memenangi pilihanraya, agenda mencetuskan huru-hara, agenda mempergunakan mahasiswa dan sebagainya adalah satu pandangan yang kurang bijak, yang sengaja dilakukan oleh orang yang kurang membaca,kurang membuat analisis &  bermentaliti terkebelakang.Persepsi ini sengaja direka bagi mengalihkan isu sebenar daripada pengetahuan rakyat.Isu ini harus diterima dengan melihat kepada tuntutan induknya, yakni menuntut:
  1. Pembersihan Senarai Undi
  2. Mereformasikan Undi Pos
  3. Penggunaan Dakwat Kekal
  4. Akses kepada Media yang Bebas & Adil
  5. Masa Berkempen minima 21 hari
  6. Pengukuhan Institusi Awam
  7. Hentikan Rasuah
  8. Hentikan Politik Kotor
Tuntutan ini mesti dipenuhi oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan jentera awam yang terbabit sebelum Pilihanraya Umum ke-13 berjalan.Mereka mempunyai kuasa & autonomi untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut dan di peringkat rakyat pula, kita seharusnya menjadi “pressuring-power” bagi mendesak pihak terbabit menjalankan amanah selaras dengan kehendak rakyat.
GEMPUR percaya, rakyat yang waras & cintakan keadilan sudah tentu bersetuju dengan kesemua tuntutan ini.Mahasiswa seharusnya memfokuskan tentang isu induk ini tanpa memikirkan hal remeh temeh yang menjadi punca mengapa kita tidak dapat melakukan keadilan dalam proses negara ini. Seseorang yang menuntut keadilan perjalanan sistem kerajaan, tidak semestinya dia penyokong pembangkang, tetapi itu tuntutan naluri insani yang inginkan sesuatu berjalan dengan cara yang betul.



Kesimpulannya, GEMPUR tidak kisah siapa pun menang dalam pilihanraya, tetapi menanglah dengan cara yang adil dan saksama.Lakukanlah proses perubahan dalam sistem pilihanraya supaya rakyat benar percaya dengan keadilan dalam sistem yang ada. Setelah keadilan dilakukan, barulah rakyat melakukan proses pemilihan dengan adil. Kita mesti akur dengan kerajaan pilihan rakyat secara adil dan saksama.Ayuh, kita bersama-sama membetulkan niat kita demi kecintaan terhadap  negara.Mahasiswa seharusnya ke hadapan dalam mengangkat dan memartabatkan keadilan dalam sistem negara.

GEMPUR menjangkakan hampir 1,000 mahasiswa dari pantai timur akan turun bersama-sama menunujukkan solidariti.Berhimpunlah dengan penuh semangat, adab & akhlak serta berpegang dengan nilai-nilai yang baik.Pasti,kita semua sayangkan negara ini dan ingin memastikan negara ini benar-benar menjadi sebuah negara yang baik dalam semua aspek.Semoga Allah merahmati segala usaha kita!

-Setiausaha GEMPUR


Ulasan BSM : BSM bersetuju dengan GEMPUR dan turut menyeru mahasiswa yang berintelektual dan beridealisma untuk turun menyertai BERSIH 3.0 sehingga kerajaan yang seterusya berjaya menggapai kejayaan dalam PRU13 ini dengan bersih, bebas dan adil. Jauh dari sudut hati BSM berharap agar PRU13 ini akan diredhai Allah.

No comments:

Post a Comment